Monday, February 15, 2010

AKU DAN WARIS KAPITAN MELAYU MELAKA

Namaku Hanafi Said. Kawan kawan memanggilku Cepun. Mataku ada sikit macam peranakan Cina. Kulit pulak agak putih kalau lama tak berjemur panas . Gambar ni masa muda dulu-dulu tapi tak lah lama sangat.


Ini Pakcik ku. Abang kepada ibuku. Nama beliau En. Khalid Bin Hussien kini menetap di Batu Berendam Melaka. Gambar ni pun lama juga.

Ini pula datuk ku, Hussien bin Mahmood (1902-1939). Gambar ini lagi lama (1936)
Ayah kepada ibu dan pakcik ku. Pernah bekerja sebagai Land Surveyor/Mineral & Mining dengan British dibawah Straits Settlement atau Negeri negeri Selat. Selalu menjelajah keVietnam, Laos, Thailand dan Burma semasa. Meninggal dunia diBurma dan dikebumikan diRangoon semasa berumur 37 tahun. Hanya passport dan baju kot serta wang yang dibawa pulang oleh pihak British untuk diberikan kepada nenekku. Ketika itu pakcikku dan ibuku masih kecil lagi. Datukku semasa hidup, sesekali balik bercuti, terus ke Ulu Yam Lama bertemu keluarga beliau. Beliau seringkali ke Melaka untuk mengambil wang pampasan dari kerajaan British sebagai salah seorang waris Datuk Aroom. (Wang ini adalah sebagai pampasan dari perjanjian pihak kerajaan akibat penduduk yang menerokai tanah-tanah wakaf Datuk Aroom/Datuk Shamsudin secara haram sebelumnya dimana keluasan tanah tanah wakaf Geran Belanda ini amat lah besar (hampir separuh negeri Melaka dengarnya)

Salasilah (My Family Tree)

Aroom (Tan Seek Tiong)
(Kapitan Melayu - I)
Samsudin
(Kapitan Melayu - II)
Budiman
(Kapitan Melayu - III)
Mohamad @ Ahmad
Osman
Abu Bakar
Mahmood (Moyang ku)

Hussien (Datuk ku)

Abd Khalid Bin Hussien (Pakcik ku)
Hasmah @ Khalidah Bte Hussein (Ibu-ku)

Mohd Hanafi (Aku)

Betul ke Aku salah seorang waris Kapitan Melayu?

Sumber sumber cerita dan fakta fakta yang aku perolehi kebanyakkan daripada Pakcik ku. Menurut Pakcik ku, ayah beliau (datukku) pernah memberitahu ibu beliau (nenek ku lah) yang beliau ada ramai saudara saudara di Melaka. Ketika Datuk ku berkahwin (not sure may be Nek Nyah), dengar cerita satu gerabak keretapi telah dichartered khas tiba di Rawang dari Melaka. Memang dia orang loaded semua. Ketika kecil dengar cerita mereka semua berkereta kuda adanya. Datukku pula apabila pulang bercuti akan menunggang motosikal nya pergi memburu belibis dihujung kampung ditemani beberapa orang kampung yang akan mengutip itik-itik yang jatuh ditembak.
Sebenarnya, moyang ku, Mahmood membawa diri keRawang, Selangor akibat merajuk dengan keluarga di Melaka mungkin pasal harta juga. Terlampau banyak nya harta harta, masih ada ysumber bolot semua agaknya. Cerita cerita tentang datukku dan adik beradik beliau diMelaka semasa kecil sering kali dicerita kepada nenek.

Malah kakak Datuk ku,Nek Nyah pernah bercerita yang beliau selalu ke Masjid Kampung Ulu semasa kecil dan ketika itu masih ingat tentang bendera Cina “Ta” diatas Masjid. Dengar cerita diturunkan pada awal 60an. Entah apa salahnya bendera tu. . Mungkin pasal tulisan mandarin “Ta”kat bendera tu agaknya, tak Islamic kot. Masjid ni pun kalau tengok sesekali macam Pagoda pun ada. OK lah tu. Hairannya, kalau tengok dalam TV, di China, Islam lebih lama bertapak sebelum Nusantara kita ni dan dalam masjid disana sudah tentu penuh dengan tulisan tulisan mandarin. Entahlah..setahu aku semua bahasa tu kalam NYA jua.

Aku juga diberitahu Datuk Aroom setelah memeluk Islam, beliau bekerja menjual air dikawasan Bandar Hilir sekarangni. Disamping dapat memerhati kawasan dan mempelajari sistem kapal keluar masuk dan kawalan-kawalan, business beliau berkembang hebat. Mungkin dengan menggunakan strategi ini lah, beliau dapat membantu pihak Belanda untuk menakluki Melaka dan terus mendapat tempat tertinggi dan hadiah-hadiah berupa tanah-tanah dan kuasa dari pihak Belanda. Beliau juga seorang yang warak yang mendirikan sebuah Masjid yang sekarang terkenal sebagai Masjid kampong Ulu iaitu yang tertua di Malaysia. Bertempat disebelah Sungai Melaka dimana senang dimudik oleh perahu-perahu dan kapal kecil, disini lah dimana saudagar saudagar yang beragama Islam akan bersembahyang dan mungkin tinggal dirumah rumah tumpangan berhampiran. Juga tidak ketinggalan ada juga ramai para-para wali yang turut singgah disitu. Makam-makam wali wali ada diperkarangan masjid. Masjid ni tak sama dengan masjid lain. Tiap tiap kali aku singgah sembahyang, ada je orang hantar dan masak besar besaran. Mungkin nazar orang-orang kot. Dengar cerita kalau nak bersumpah, nak junjung Quran ke, masjid lama ni selalunya jadi tempatnya.


Masjid Kampung Ulu, Melaka




Makam Kapitan Melayu
Gambar "Makam Lama Batu Nisan Acheh" di Bukit Beruang, Melaka - Tempat Persemadian Kapitan Melayu & Keturunanya. Datuk Aroom dihadiahkan tanah diSungai Putat dan Bukit Beruang setelah dilantik menjadi Kapitan Melayu kerana menolong Belanda mengalahkan Portugis sekitar tahun 1641.
Batu tanda yang dibina oleh Jabatan Museum & Antikuiti


Ini kubur Datuk Aroom I (Kapitan Melayu I). Pertama kali aku pergi, sebatang pokok ara yang
besar masih ada diatasnya. Sekarang dah ditebang.
Ini kubur Datuk Samsuddin (Kapitan Melayu - II). Yang didalam ni, pakcik aku, En Khalid bin Hussien.
Ini batu nisan dari jarak dekat.
Setiap kubur kubur disini semuanya ditanda Nisan Acheh, yang khas ditempah oleh Datuk Samsuddin untuk keluarga beliau. Ada besar setinggi orang dewasa dan ada yang standard
size. Yang dalam gambar ni aku.







SEJARAH DATUK AROOM - KAPITAN MELAYU MELAKA

Diriwayatkan, melalui mulut kemulut, turun menurun, bahawa seorang pedagang dan pelayar yang berjiwa besar dan mempunyai azam yang kental, telah belayar dari Tiongkok dengan mengibarkan bendera putih berlambangkan “Ta” dari Tiongkok, dengan membawa dagangannya termasuk kain sutera, tembikar dan lain-lain khazanah keluaran Negeri China untuk ditukar dengan timah, rempah ratus serta lain-lain.

Setelah belayar berbulan bulan akhirnya, mereka tiba diperairan Selat Melaka dan sedang menghampiri pelabuhan Melaka, ribut taufan telah melanda dan kapal mereka telah tenggelam.

Bila ribut pun reda, penduduk kampong dipantai Kelebang telah beramai-ramai telah berebut-rebut memungut barang hanyut yang terapung digigi air, apabila sekumpulan kanak-kanak menjumpai seorang yang tidak sedarkan diri dipantai dan memanggil ibubapa mereka yang sedang sibuk mengumpul barangan hanyut.

Mereka mendapati seorang pemuda Cina bernyawa-nyawa ikan lalu mengusungnya kerumah ketua kampong. Pada masa itu azan berkumandang diudara, dan pemuda itu telah sedarkan diri dan menanyakan suara melaung-laung yang didengar itu. Setelah diterangkan bahawa laungan Azan itu memanggil ummah untuk mengerjakan solat beliau minta diislamkan. Pemuda itu yang bernama Tan Seek Teong diberi nama Islamnya Harun [kemudiannya dipanggil Haroom, Arom, Aroom, dan lain lain bergantung siapa yang menyebutnya]

Beliau kemudiannya dikatakan telah berkahwin dengan Cik Zainab serta menjadi penduduk contoh, dipercayai dan dihormati. Lama kelamaan setelah menampakkan kepimpinan yang mantap, pemikiran yang bernas dan sentiasa menegakkan keadilan, beliau diamanahkan menjadi pemimpin Melayu yang disegani.

Datuk Aroom dikurniakan empat orang anak lelaki bernama Sulong, Samsudin, Puteh dan Surin.



Dalam tahun 1641, setelah Portugis memerintah Melaka sejak tahun 1511, Datuk Aroom dan orang-orang nya membantu Belanda mengalahkan Portugis dan beliau telah dilantik menjadi Kapitan Melayu Melaka dan dianugerahkan tanah diSungai Putat dan Bukit Beruang [yang kemudiannya dijadikan tempat persemadian beliau dan keturunnya TETAPI dinamakan “TAPAK SEJARAH NISAN ACHEH” sahaja oleh pakar-pakar sejarah Melaka]

Juga Pemerintah Belanda, kerana pentabdirannya mesra Keagamaan serta menggalakkan pembinaan rumah-rumah ibadah, telah memberi tanah untuk membina Masjid yang kemudiannya dinamakan Masjid Kampung Ulu, diperbuat daripada kayu yang dibawa dari Cina. Dan apabila disiap pada tahun 1670 dan digunakan, telah menibarkan bendera kemegahannya “Gagah Perkasa” [Sehingga diturunkan pada tahun 1962, setelah berkibar selama 292 tahun]

Datuk Aroom juga telah diberi tanah-tanah untuk menempatkan waris keturunannya, pegawai-pegawai masjid, hamba-hambanya serta pengikutnya yang kemudian dinamakan Kampung Ulu, Kampung Keling and Kampung Kuli.

Datuk Aroom telah kembali ke Rahmatullah meninggalkan Wasiat Terakhirnya [belum dapat dikesan lagi]. Datuk Aroom telah disemadikan di Bukit Beruang bersempadan Sungai Putat [dan kemudiannya dijadikan Makam dengan berbatu Nisan ditempah dan dibawa dari Acheh [Datuk Samsudin, Datuk Budiman, Datuk Mohamad @ Ahmad juga disemadikan disitu], diluar kawasan Makam, dibenarnya menjadi tempat pengkebumian Keturunannya, hamba hambanya. Walau bagaimanapun dibenarkan juga menjadi tempat pengkebumian penduduk tempatan menggunakannya diwaktu “darurat” termasuk penduduk beragama asing.

Datuk Samsudin telah dilantik sebagai Kapitan Melayu II menggantikan ayahnya yang telah tua dan uzur dan beliau telah memperbaiki Masjid Kampung Ulu pada tahun 1741 dan menggantikan papan lantai dan dinding masjid dari kayu dengan batu-batan serta bata yang dibuat di Kampung Batu Bata.

Pada tahun 1703, Datok Aroom dilantik mewakili Signor Bernard Phoonsan, Gabenor dan Pengarah Kota dan Bandar Melaka untuk keNaning untuk menerima perletakkan jawatan ketua Naning, Penghulu Orang Kaya Seri Raja Merah, kemudian melantik dan menabalkan anak Penghulu Orang Kaya, Seri Maharaja Juara Magat sebagai Penghulu Naning yang baru. Terdahulu Juara Magat telah diutuskan oleh Datuk Aroom menangkap atau membunuh pengkhianat dan penculik gundik Sultan Johor, Ganta Delangit yang telah melarikan diri bersama Gundik tersebut keNaning. Diberitahu berita itu, Ganga Delangit telah melarikan diri bersama gundik Sultan ke Muar tetapi dengan kegigihan serta kecekalan Magat, beliau dapat dikesan oleh Juara Magat dan membunuhnya didalam sampan dimuara Sungai Muar. Gundik itu dapat diselamatkan dan diserah kepada Sultan Johor melalui Gabenor Melaka, Signor Bernard Poongsan.

Ekoran jasanya itu, Juara Magat dianugerahkan Pangkat Seri Mahkota dan Datuk Aroom dianugerah tanah dari Klebang ke Sungai Baru dan ke darat sampai ke Bertam.

Datuk Shamsudin telah membeli beberapa harta dan tanah di Bandar Melaka serta di sekitar Negeri Melaka dan Naning [pada masa itu dirangkum kedalam jajahan Melaka kini]. Kebanyakkan tanah dan harta di Bandar Melaka telah di “wakafkan” kepada masjid Kampung Hulu bagi kegunaan perbelanjaaan pengurusan dan pentadbiran Masjid seta pegawainya. Untuk perhatian, Masjid Kampung Ulu, tanah dan harta-harta Masjid Kampung Ulu tidah pernah diwakafkan kepada sesiapa atau mana-mana pihak dan berdasarkan Wasiat Terakhir.

Dato Samsudin, ianya hartanya sendiri dan diharamkan daripada dijual atau ditukarmilik. Dato Samsudin telah membuat Wasiat Terakhirnya di Masjid Kampung Ulu pada 27hb. Jamadil Akhir 1176 Hijrah [bersamaan 10hb Mei 1779 masehi?] Diluluskan oelh Haji Najumudin bin Fateh Abdulrahman dan telah pulang ke rahmatullah pada 19hb. Zulhijjah 1179 [bersamaan 31hb Oct 1782 Masehi] iaitu 3 tahun, 5 bulan 21 hari selepas wasiatnya dibuat dan ditandatangani. Berdasarkan dokumen-dokumen sejarah [yang disahkan oleh Akib Negara] ‘Claims of Improprioters – Malacca land’ hanya ujud 10 [sepuluh] tuan tanah termasuk 4 [empat] Kapitan Melayu [atau waris] mereka telah dikumpulkan dalam satu perjumpaan diantara Pihak Kerajaan dan 8 tuan tanah tersebut pada Selasa 10hb. Oct 1826. Geran-geran tanah mereka telah dikumpul dengan alas an untuk ditukar kepada Geran Baru, konon-nya. Setelah sedar bahawa geran-geran baru mengandungi syarat-syarat baru yang akan merugikan mereka, tuan-tuan tanah terdiri daripada orang Melayu (Kapitan-Kapitan Melayu atau waris mereka] telah mengemukakan Petisyen di Mahkamah Tinggi Straits Settlement di Malacca pada tahun 1664.

Berdasarkan tulisan Jonathan Cave berjudul “NANING IN MALACCA” dan juga tulisan Lieut. T.J. Reynold, Esg., dari 23rd Reg. Madras Light Infantry, bertajuk “POLITICAL AND STATISTICAL ACCOUNT OF THE BRITISH SETTLEMENTS IN THE STRAITS OF MALACCA” juga disahkan oleh Arkib Negara, kawasan yang dinamakan “Pangkalla Awor” seluar 2.5 batu persegi dan “Sarang Gaja” serta “Pantchoor” seluas 2 batu persegi adalah kepunyaan “Intgi Haroom” dan anaknya Surin tidak pernah menyerah atau memindah hak tanah-tanah tersebut kepada sesiapa. Apabila The Mohamedan and Hindu Endowment Board ditubuhkan, Apabila tiada usaha oleh waris keturunan Kapitan Melayu menuntut harta peninggalan mereka, Mahkamah Tinggi Melaka telah menyerah kesemua harta dibawah amanah dan pentadbiran Lembaga.

Pada tahun 1918, Hajah Aminah binti Samsudin cicit kepada Datuk Samsudin bin Aroom, telah memfail Petisyen di Mahkamah Tinggi Melaka [Originating Summons No 13 of 1919] menuntut sebahagian dari harta tersebut [keputusannya tiada dalam rekod]. Mohamedan dan Hindu Endowment Board telah dimansuhkan oleh Majlis Agama Islam Melaka telah ditubuhkan dibawah Pengistiharan Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agung pada tahun 1994.

Majlis Agama Islam Melaka telah mengambil alih sebagai Pemegang Amanah dan Pentadbir Harta Pusaka Datuk Samsudin termasuk Masjid Kampung Ulu dan harta “Wakaf” nya melalui “Malacca Legal Notification” bertarikh 16hb. Januari 1964.

Satu Petisyen telah difailkan di Mahkamah Tinggi Melaka [PETITION NO: 31-22-TAHUN 1989] dan seterusnya Usul Pemula [USUL PEMULA NO:23-4 TAHUN 1991].
Ianya terhenti ekoran pemergian Haji Ja’afar Bin Ahmad Shawal, ahli keturunan dan Penderma kepada kos-kos perbelanjaan tindakan Mahkamah, diikuti oleh Pemetition, arwahTuan Haji Abdul Latif. Tindakan melalui Mahkamah Tinggi ini telah memakan masa begitu lama dan menghadapi beribu rintangan serta onak dan duri selain memerlukan puluhan ribuan ringgit, [jika tidak ratusan ribuan ringgit].

Sementara itu juga, pelbagai masaalah perlu dilalui, termasuk Tangguhan demi tangguhan di mhkamah, penukaran demi penukaan Peguam, pertelingkahan diantara waris keturunan. Hakim-hakim sering berganti, tindakan menyingkir Pentadbir yang juga tidak jujur yang bukan waris keturunan yang melantik peguam yang bukan peguam. Tiada peguam Melaka yang sanggup mengambil alih dan meneruskan kuasa dimahkamah serta pelbagai masaalah yang tidak perlu saya huraikan didalam buku ini.

Mungkin dimasa hadapan, jika dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki, bila perkara ini tidak menjadi ‘Sub-Judice’ lagi, cerita sedih dan derita serta serta pengianayaan yang ditanggung oleh kebanyakan Waris Keturunan dapat ditamatkan, dan bermulalah kegemilangan serta kehebatan Waris Keturunan Datuk Aroom, dengan terbangunnya ‘Perkampungan Hadhari Datuk Haroom” di Bukit Beruang dan Sungai melalui ‘Yayasan Datuk Aroom’ yang ditubuhkan sesuai dan sejajar dengan arahan dan amanat yang diwasiatkan oleh Datuk Samsudin bin Datuk Aroom, InsyaAllah.

Amin, Wassalam,

Mohamed Ahmad Shawal PJK